Tiada Kesan Kehadiran Baru PTI di Tenom.







Artikel ini terbit di laman web sabahkini.

TIADA KESAN KEHADIRAN BARU PTI DI TENOM?

Oleh: MAIL MATHEW
Pegawai Daerah Tenom, Haji Faimin Kamin menjelaskan bahawa setakat ini tidak terdapat tanda-tanda baru kehadiran pendatang asing tanpa izin (PTI) di daerah ini, malah suasana pekan dan juga kawasan kampung kelihatan normal seperti biasa, tidak seperti yang didakwa oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap Datuk Radin Malleh dalam kenyataannya baru-baru ini.
Katanya, kemungkinan mereka yang memberi maklumat kepada beliau tersilap sangka bahawa kehadiran ramai rakyat asing di sini berkeliaran dipekan terutamanya semasa tamu mingguan adalah PTI, sebaliknya mereka itu mempunyai dokumen yang sah kerana bermajikan. Beliau yang juga, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah di sini berkata demikian kepada sabahkini.net sebagai mengulas kenyataan Datuk Radin Malleh baru-baru ini yang mendakwa kononnya daerah ini kelihatan banyak PTI. Dalam kenyataan itu, Datuk Radin dipetik sebagai berkata, beliau telah menerima maklumat daripada para penduduk kampung dalam daerah di sini yang mengatakan banyak PTI kelihatan di sini, justeru beliau meminta pihak Polis, Imigresen dan Pejabat Daerah mengambil tindakan positif untuk menanganinya. Faimin seterusnya berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat laporan daripada mana pihak dalam jawatankuasa keselamatan daerah terutamanya RELA dan JKKK terhadap gejala tersebut. Bagaimanapun katanya, beliau menyeru pihak RELA, Ketua Kampong dan JKKK di setiap pelusuk kampung agar memantau dan menyiasat dakwaan itu dan buat laporan segera ke Pejabat ini jika dakwaan terbukti sahih supaya tindakan segera dapat dilakukan. “Kita tidak mahu memandang remeh terhadap masalah ini dan kita bertindak tegas menyelesaikan masalah tersebut demi keselamatan rakyat,” tegas Faimin.

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Suprintendan Polis (DSP), Mazlan Haji Lazim (gambar kiri) ketika dihubungi menjelaskan bahawa pihaknya telah menjalankan operasi dua kali dalam tempoh sebulan tetapi setakat ini gejala itu tidak dikesan ada berlaku. “ Setakat ini operasi mengesan dan memburu PTI di sini masih berterusan terutamanya di pelusuk kampung, tetapi tak jumpa pun PTI…yang ada rakyat asing yang ada pas dan bermajikan, jadi mereka ini sah dari segi undang-undang,” jelas Mazlan. “ Bagaimanapun…kita akan lipat gandakan usaha untuk mengesan PTI dari masa kesemasa,” tambanya lagi. Manakala pihak Jabatan Imigresen di sini, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Zainuddin Ebit (gambar kanan) pula memberitahu bahawa kehadiran PTI di sini seperti yang didakwa tidak berlaku kerana tiada laporan yang diterima dari maklumat akar umbi. “ Kita akan minta bantuan penguatkuasa kami di HQ untuk menjalankan operasi bersepadu bersama dengan lain lain jabatan seperti Polis dan RELA, jikalau keadaan itu serius dan memerlukan tambahan pegawai kami…tetapi apa yang kami lihat disini agak normal sahaja,” jelas beliau.

Last Updated on Wednesday, 29 July 2009 16:09

Comments

Popular posts from this blog

Daun Tarap Daun Timadang, Saya Harap Jangan Meradang

Tributes to Michael Jackson( 1958-2009) and Farrah Fawcett

FAREWELL WS RENDRA, POET, PLAYWRIGHT AND FATHER OF INDONESIAN THEATER