Lawatan Ke Kg Abingkoi Bersama Ahli Parlimen P181 Tenom YB Raime Unggi,




1. Mengikuti Lawatan ke kampung-kampung adalah sebahagian tugas saya, Walau bagaimanapun didalam lawatan pada 26 Mei 2009 ke Kg Abingkoi agak istimewa kerana kami menggunakan pesawat helikopter Sabah Air. Sebenarnya inilah pengalaman pertama saya menaiki helikopter

2 Kg Abingkoi merupakan sebuah perkampungan tradisi yang termasuk didalam Kawasan Hutan Simpan, sepertaimana juga dengan beberapa perkampungan dikawasan Daerah Kecil Kemabong. Keadaan inilah sebenarnya yang telah menyebabkan kesukaran penyaluran pembangunan kerana pembangunan didalam kawasan Hutan Simpan bertentangan dengan peraturan/undang-undang Jabatan Perhutanan. Tambahan pula kedudukan perkampungan ini yang jauh bertaburan diantara satu dengan lain,

3. Lawatan kali ini adalah bersempena dengan Pesta Kaamatan peringkat kampung tersebut. Disebabkan muatan heli hanyalah 4 penumpang, maka saya telah mengetuai trip pertama penerbangan bersama-sama Pegawai Perhubungan Parlimen (En Ampalang Payu ), Pegawai RELA Daerah ( Lt Kolonel Tumaang ) Pemberita New Sabah Times ( En Marutin Ansiung). Penerbangan yang sepatutnya hanya memakan masa 10 minit telah memakan masa hampir 20 minit kerana juruterbang terpaksa berlegar-legar mencari perkampungan yang hanya mempunyai 5 buah rumah itu. Dengan bantuan alat radio amatur saya menghubungi rakan-rakan radio di Tenom untuk bertanyakan kedudukan dan tanda kampung tersebut. Maklumat yang saya terima, penduduk kampung telah menandakan kampung tersebut dengan bendera BN dan UMNO. Pengenalan lain, kampung tersebut dikelilingi oleh pokok bambu. Dengan petunjuk itu, kami telah dapat mengesan perkampungan tersebut. Setelah mendarat, kami disambut oleh Pengerusi Penganjur, anggota RELA dan penduduk kampung yang saya anggarkan sekitar 100 orang.

4. Sementara menunggu trip rombongan seterusnya termasuk YB Raime Unggi, saya sempat meninjau kawasan perkampungan tersebut. Berdasarkan keadaan rumah, chapel dan pokok buah-huahan di kawasan ini, boleh dikatakan mereka telah menatap lebih dua puluh tahun dikawasan ini. Saya turut simapti dengan keadaan mereka yang daif. Akses jalan ke kampung ini adalah jalan balak yang memakan masa lebih 2 jam ke pekan Tenom dengan menggunakan kendaraan pacuan 4 roda (4 X 4). kuasa letrik hanya menggunakan generator dan air dari graviti. Sekolah terdekat terletak di perkampungan jiran sebelah iaitu Kg Korolok .

5. Saya telah diberi peluang berucap di majls tersebut. Didalam ucapan, saya telah mencadangkan agar penduduk kampung ini mempertimbangkan sekiranya ada cadangan penempatan baru, mereka berpindah di kawasan penempatan yang lebih terancang oleh kerajaan. Kebetulan pada ketika ini, pejabat daerah sedang merancang penempatan untuk golongan miskin tegar di kawasan Daerah Kecil Kemabong iaitu Penempatan MESEJ Kg Patian (Mini Estet Sejahtera ) dan Projek Agropolitan Kabintaluan.

6. Memerangi kemiskinan di kawasan pedalaman merupakan satu cabaran kepada kerajaan. Saya melihat hanya dengan membuka lebih banyak penempatan tersusun dan terancang dapat mengatasi masalah ini dalam jangka masa panjang. Keadaan ini terbukti dengan pengujudan Skim Penempatan Getah Kuala Tomani dan Batu Tiningkang di era pemerintahan parti BERJAYA dimana peneroka skim ini mampu hidup diluar garis kemiskinan. Malah bertambah mewah ketika harga susu getah melambung naik.

7. Jam 12.30 tengahari majlis rasmi telah berakhir dan seperti kebiasaannya majlis ini akan berakhir sehingga keesokannya. Andaian ini saya buat berdasarkan terdapat 10 tajau tapai, jaruk ikan dan binatang buruan yang sedia untuk dijamu oleh penduduk kampung bersama-sama rakan-rakan mereka dari kampung sebelah. Untuk sehari dua penduduk kampung ini akan terlupa penderitaan kemiskinan hidup sehinggalah pesta mereka berakhir.

8. 12.45 Heli datang untuk mengambil kami.....ketika berlepas pergi saya sempat melihat mereka melambai tangan. Saya berharap suatu hari nanti generasi muda mereka sanggup keluar dari kampung tersebut untuk keluar dari kepompongan penderitaan kemiskinan.

Comments

Popular posts from this blog

Daun Tarap Daun Timadang, Saya Harap Jangan Meradang

Tributes to Michael Jackson( 1958-2009) and Farrah Fawcett

FAREWELL WS RENDRA, POET, PLAYWRIGHT AND FATHER OF INDONESIAN THEATER