Bencana Alam Banjir

1. Tahun Baru Cina pada tahun ini disambut dengan banjir besar di Negeri Sabah, termasuk Daerah Tenom. Rancangan untuk membawa keluarga bercuti ke Tawau terpaksa ditunda kerana terpaksa membuka Bilik Gerakan Banjir. Program telah diatur pada malam sabtu bersama-sama Cikgu Lawasa dan Cikgu Samsudin Akil, Namun rancangan tinggal rancangan kerana pada malam tersebut hujan mula turun dengan lebatnya sehingga mengakibatkan banjir besar.

2. Fenomena banjir kali ini agak luar biasa. Biasanya Jawatankuasa Banjir tidak menghadapi masalah mengurus banjir kerana kita dapat membuat persediaan berdasarkan bacaan tolok yang diurus oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Sungai Padas. Namun banjir pada kali ini, selain banjir sungai, kejadian "Banjir Darat " dimana jumlah air yang banyak datang dari kawasan bukit, telah mengakibatkan kawasan perumahan yang tidak pernah dilanda banjir menjadi mangsa yang teruk kerana mereka tidak menyangka akan kejadian ini. Kawasan perumahan seperti Taman Bahagia, Perumahan Kalang, Taman Bunga Raya telah dilanda banjir dan mengakibatkan kerugian yang besar. Buat pertama kali juga Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat Tenom dilanda banjir termasuk hospital daerah. Walau bagaimanapun dengan sikap profesionalisme yang tinggi dikalangan pegawai kerajaan di daerah ini, kerja-kerja penyelamat dapat dilakukan dengan licin. Bomba Daerah Tenom dibawah pimpinan En Jamal Kayat telah dapat melaksanakan tugasan dengan cemerlang. Begitu juga dengan pihak Polis dibawah pimpinan OCPD DSP Mazlan, kerja-kerja pemantauan dapat dilaksanakan dengan teratur.

3. Pengurusan banjir dikawasan yang sering dilanda banjir tidaklah begitu sukar kerana penduduk kampung dikawasan ini telah biasa dan tahu prosedur mengenai pengrusan banjir. Pejabat Daerah telah mengenalpasti tempat pemindahan bagi penduduk yang terlibat. Wakil rakyat telahpun menyediakan perahu, manakala minyak petrol disediakan oleh Pejabat Daerah.
Dengan demikian apabila berlaku banjir penduduk yang terlibat akan berpindah ke Pusat Pemindahan, biasanya di Rumah Kebudayaan kampung masing-masing. Pengerusi JKKK atau Ketua Kampung akan menghubungi Bilik Gerakan Banjir mengenai keadaan mereka sama ada telah berpindah atau tidak ke Pusat Pemindahan. Jika berpindah, Jabatan Kebajikan Am di bawah pimpinan en Ismail, Pegawai Kebajikan Daerah akan menurus penghantaran bekalan makanan.

4. Bencana alam adalah diluar kuasa manusia, namun didalam kita mengurus bencana ini, kita terpaksa mengurus karenah manusia. Bencana alam adalah bala bagi sesetengah orang tetapi bagi sesetengah dari mereka, situasi ini dijadikan sebagai modal untuk dipolitikkan. Segala kelemahan jentera kerajaan dan parti pemerintah dijadikan modal politik didada akhbar. Didalam menghadapi situasi bencana, adalah elok bagi semua pihak berkerjasama menanganinya. Tiada salahnya mengkritik, tapi selain mengkritik beri lah cadangan membina untuk penyelesaian. Saya sering menjelaskan bahawa Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri yang dipengerusikan oleh YAB Ketua Menteri sangat responsif dan prihatin kepada apa jua cadangan dan permohonan bantuan dari jawatankuasa kita diperingkat daerah. YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman turut turun padang melawat Kg Pantongan Sapong yang diancam tebing runtuh. Jadi maklumkan kepada Pejabat Daerah masalah yang dihadapi termasuk cadangan-cadangan mereka. Bukannya di bawa kepada akhbar atau media massa yang biasanya memberi liputan kurang menyeluruh, sehingga didalam pelaporan, seolah-olah kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan.

5. Saya bernasib baik kerana sepanjang mengurus bencana banjir, saya mendapat bantuan dan sokongan penuh dari semua Ahli Jawatan Kuasa. Urusetia di urus dengan baik oleh Ketua Kerani, En Jamari Japri, komitmen tinggi oleh Penolong Pegawai Daerah Pembangunan En Premus Takom dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong En Fredian Gan.

6. Penghargaan istimewa juga saya tujukan kepada ahli-ahli Unit Radio J/Kuasa Bencana Alam Tenom yang dikenali sebagai T.R.C. atau Tenom Radio Club. Unit Radio ini dianggotai oleh sukarelawan terdiri dari orang awam, kakitangan kerajaan, guru-guru dan ahli RELA. Komunikasi melalui gelombang radio telah banyak membantu saya untuk memantau paras sungai Pagaalan dan Sungai Padas kerana saya dapt monitor laporan dari rakan-rakan radio. Misalnya Cikgu Fred Gugau dapat memberikan info paras sungai Padas di Kemabong dan rakan RELA dapat memberikan info paras sungai Pagalan. Mengetahui keadaan paras sungai membolehkan kita membuat persediaan yang bersesuaian dengan lebih awal. Semangat kesukarelaan dikalangan ahli radio sangat membanggakan. Saya boleh mengambil contoh sukarelawan radio yang amat dikenali dikalangan ahli iaitu En Surainsah atau dikenali sebagai Tango Romeo 30. Dengan bermotosikal, beliau sanggup keluar memantau paras sungai pada jam 11 malam. Rakan radio juga sebenarnya amat prihatin, dimana mereka sanggup mengeluarkan wang sendiri untuk membeli pita putih merah untuk membuat tanda di kawasan jalanraya yang runtuh untuk memberi amaran kepada pengguna jalanraya dan memasangnya pada jam 10.00 malam. Tindakan mereka adalah semata-mata untuk keselamatan orang ramai kerana jabatan yang berkaitan belum sempat dihubungi atau jika dihubungi sekalipun, biasanya tindakan agak lambat diambil kerana keadaan cuaca hujan dan gelap.

7. Terima kasih kepada semua yang telah membantu, ADO Premus mengatakan dengan nada bergurau, banjir kali ini agak luar biasa kerana Tahun Baru Cina kali ini adalah Tahun Kerbau,..dan kerbau suka berkubang atau mandi di lumpur, jadi perlu lebih banyak air untuk mandi.

Comments

Popular posts from this blog

Daun Tarap Daun Timadang, Saya Harap Jangan Meradang

Tributes to Michael Jackson( 1958-2009) and Farrah Fawcett

FAREWELL WS RENDRA, POET, PLAYWRIGHT AND FATHER OF INDONESIAN THEATER