Bercuti Di Tawau
Berhenti makan tengahari
Berehat ditempat penginapan di Kuhara Court Apartment
1. Setelah tertangguh rancangan percutian ke Tawau pada awal tahun ini akibat cuaca banjir, akhirnya ianya terlaksana pada 9 - 11 Jun lalu. Kebetulan cuti persekolahan, cuaca baik, tiada kesibukan mengurus bencana alam maka tertunailah niat untuk ke Tawau melalui jalan baru Keningau-Sepulut-Kalabakan-Tawau. Jarak hampir 400 km dan memakan masa memandu
hampir 8 jam melalui jalan gravel dari Sepulut sehingga Kalabakan.
2. Pertama kali saya memandu sejauh itu, adalah pengalaman baru. Kami bertolak dengan menggunakan 2 buah kendaraan bersama-sama rakan sepejabat En Jubin Kinsil yang membawa keluarganya bersama. Dari maklumat dan tips yang diberikan oleh rakan-rakan yang pernah ke Tawau melalui jalan ini, kami telah menyediakan makanan untuk dimakan di perjalanan.
3. Selepas melepasi Sepulut, keadaan jalan gravel dengan habuk tebal mula mencabar pemanduan. Kebetulan masa untuk makan tengahari sudah sampai tetapi dilewatkan untuk mencari tempat yang sesuai. Kami telah berhenti di perhentian bas yang nampaknya sesuai untuk berehat makan.
4. Disebabkan inilah kali pertama melalui jalan ini, kami memandu agak perlahan iaitu antara 60 - 80 km/j sahaja. Maklumlah belum biasa dengan keadaan dan selok belok jalan tersebut. Sepanjang jalan hanya hutan rimba dan stesen Jabatan Perhutanan sahaja yang dapat dilihat, termasuk simpang ke Maliau Basin. Saya agak cemas juga apabila sesekali dipotong oleh kereta pacuan 4 roda yang dipandu laju. Begitu juga bila lori balak atau kelapa sawit berselisih atau memotong, keadaan jalan gravel dan habuk tebal menggangu pemanduan dan penglihatan.
5. Memasuki kawasan Kalabakan bermakna jalan gravel berakhir dan kita akan mula memandu du jalan aspal. Sebelum kita memasuki jalan beraspal kita akan melalui bulatan jalan yang paling besar setakat yang saya temui setakat ini. Keluasan tengah bulatan jalan ini, lebih kurang sebesar padang bola sepak...
6. Pemanduan dari kelabakan ke bandar Tawau memakan masa hampir 2 jam dengan kelajuan antara 80 - 100 km/jam..maklumlah banyak kendaraan dan pertama kali melalui jalan ini. Hampir jam 6 petang kami sampai di tempat penginapan yang kami tempah awal, Kuhara Court Apartmen. Apartmen 3 bilik dengan kemudahan dapur yang tersedia amat sesuai dengan rombongan kami. Kebetulah penginapan ini terletak tidak jauh dari pusat bandar. Anak-anak juga seronok kerana apartment ini mempunyai kemudahan kolam renang. Keselamatan kendaraan juga agak terjamin kerana ia berada didalam pagar dengan pengawal keselamatan bertugas 24 jam.
7. Keesokan hari, bermulalah acara shopping di Pasar Tanjung Tawau dan beberapa tempat membeli belah yang sangat sesuai dan digemari khususnya para isteri..faham-faham saja lah. Harga yang agak murah berbanding di KK, menjadikan Tawau syurga membeli belah khususnya bagi peralatan dan aksesori dapur. Bagi mereka yang suka menikmati makanan yang enak dan harga berpatutan, Tawau sedia menunggu untu anda menjamu selera.
8. Setelah menghabiskan masa 3 hari 2 malam, kami berangkat balik ke Tenom. Rasa lenguh kaki dan lutut masih terasa tetapi cabaran pemanduan tidak dapat dielakkan. setelah bersarapan dan membeli belah, jam 10.15 pagi kami bertolak balik dengan pemanduan lebih laju sedikit kerana kami telahpun mengetahui selok belok jalan tersebut.
9. Memandu hampir 7 jam dan singgah makan ditempat yang sama, kami selamat tiba di rumah (Tenom) hampir jam 6 petang. Badan memang letih tetapi ianya berbaloi apabila melihat anak-anak gembira dengan distinasi percutian kali ini.
10. Mudah-mudahan ada peluang seperti ini dimasa akan datang setelah keseluruhan jalan diturap sepenuhnya.
Comments